Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara (KL ATCC) baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika merasmikan majlis pecah tanah kompleks bernilai RM650 juta itu hari ini, Najib berkata KL ATCC baharu itu akan membentuk satu lagi pencapaian dalam program transformasi negara bagi meningkatkan mutu penyampaian awam.
“Jika perkhidmatan trafik udara diuruskan dengan teratur dan efisien sudah pasti ia akan membuahkan rasa percaya dan yakin terhadap industri penerbangan dan pengangkutan udara di Malaysia.
“Ia akan membuktikan bahawa kita tiada kompromi dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik, cekap dan paling penting, selamat,” katanya.
Kompleks itu menempatkan operasi Kawalan Trafik Udara bagi Ruang Udara Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘Kuala Lumpur Flight Information Region’ (KL FIR) bagi menjadi tunjang utama bagi keseluruhan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Dipanggil menduduki exam pegawai kawalan trafik udara? Baca contoh soalan pegawai kawalan trafik udara di laman Coach Kerjaya.